Rabu, 17 Februari 2016

Diskusi Cara2 Membiak Ikan Laga.

As Salamua'laikum...

Bermula hujung Oktober 2015, saya mula menjinak2kan diri untuk menceburi bidang pembiakkan Ikan laga atau lebih dikenali sebagai "Betta". disini saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman yang tak seberapa ini dalam usaha membiakkan ikan laga @ Betta ini.



Langkah Pertama: Proses Kenal pasti Jantina Ikan Laga @ Betta.

Cara untuk mengenal pasti jantina ikan laga ini amatlah mudah. Kebiasaannya, ikan laga jantan berekor panjang, mempunyai warna yang lebih cerah, terang, menarik dan lebih agresif. Ikan laga betina pula berekor pendek, warna yang pudar dan kurang menarik serta tidak afresif. Akan tetapi, pada waktu ini para penternak telah berjaya menghasilkan ikan laga betina yang berekor panjang dan mempunyai warna yang terang seperti yang jantan. Untuk membezakan yang mana jantan dan yang mana betina hanya dengan melihat Abdomen dibawah perut ikan laga.



Ikan laga betina mempunyai "Ovilpostor" atau bintik/biji putih pada bawah perutnya iaitu tempat telur dikeluarkan. Ikan laga betina yang matang dan sudah bersedia untuk mengawan, badannya akan berbelang-belang.


"Ovilpostor" Egg Tube


Ikan Laga Betina yang Matang berbelang-belang



Langkah Kedua: Pemilihan Induk yang Matang

Untuk menjalankan proses pembiakkan ikan laga, kita mestilah memastikan induk yang akan dibiakkan telah matang. Ikan laga yang matang biasanya telah mencapai umur 4 bulan sekiranya diberi makanan yang secukupnya.

Induk Jantan.

Induk jantan yang telah matang dan bersedia untuk mengawan biasanya akan membuat buih dipermukaan air.



Induk Betina.

Induk betina pula mempunyai perut yang buncit seakan bentuk segitiga dan bintik putih "Ovilpostor" dibawah perutnya akan jelas kelihatan serta warna badan yang berbelang.

Induk Betina Matang


Langkah Ketiga: Sediakan Bekas/Akuarium yang sesuai.

Bagi proses pembiakan, kita perlu menyediakan bekas/tangki/akuarium yang selesa sekurang-kurangnya bersaiz 1kaki x 1kaki x 1kaki. Lagi besar bekas/tangki/akuarium lebih bagus kerana ianya boleh meningkatkan peluang anak-anak ikan untuk hidup.

Masukkan air lebih kurang 4-5 inci dari dasar dan letakkan daun ketapang yang kering dipermukaan agar induk jantan boleh membuat buih. Selain itu, kita boleh juga meletakkan sedikit pokok hiasan bagi memberi perlindungan untuk induk betina. Daun ketapang kering, polisterin dan pokok kiambang berfungsi sebagai pelindung kepada buih-buih yang dibuat oleh induk jantan agar tidak pecah. Induk jantan akan suka membuat buih dibawahnya.




Pokok Ketapang


Daun Ketapang Kering



Langkah Keempat: Proses Pembiakan.

Bagi memulakan proses pembiakan, induk jantan perlu dimasukkan dahulu ke dalam bekas/tangki/akuarium yang telah disediakan sehari lebih awal bagi menyesuaikan diri dan membuat buih di bawah daun ketapang, polisterin atau pokok kiambang.


  
    


Setelah buih cukup banyak, barulah induk betina dimasukkan. Harus diingatkan bahawa induk betina perlu dikurung dahulu bagi proses memikat dan mengenal hati budi sebelum dilepaskan bersama. Asingkan seperti gambar dibawah untuk proses memikat dan mengnal hati budi. Perlu diingatkan bahawa proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya 4-7 hari mengikut pada kondisi induk betina sama ada sudah bersedia untuk mengawan atau belum. Oleh itu, pemilihan induk jantan dan betina yang sesuai perlu diambil berat bagi mengelakkan kebarangkalian kegagalan proses mengawan.



Berikut saya sediakan satu video yang dipetik dari laman Youtube bagaimana proses mengawan berlaku.





Di bawah adalah telur yang telah berjaya disenyawakan.




Langkah Kelima: Pengjagaan Anak.

Langkah terakhir yang memerlukan pemerhatian yang khusus dan perlukan pengorbanan masa kita untuk menjaga anak-anak kecil agar tidak terkorban separuh jalan. Setelah menetas, anak-anak ikan laga masih memerlukan penjagaan dari induk agar tidak lemas di dasar bekas/takung/akuarium kerana anak-anak masih belum boleh berenang bebas. Selepas 2 hari, Induk jantan dan betina perlu dikeluarkan bagi mengelakkan induk-induk memakan anak-anak yang masih kecil. Pada hari ketiga, anak-anak ikan perlu diberi makan air hijau (spirulina) sentiasa kerana fetus/kantung putihnya telah habis digunakan dalam tempoh 3hari yang lalu. Berikut adalah rakaman yang saya buat untuk pertama kali berjaya melakukan proses pembiakan setelah beberapa kali gagal.






Apabila anak telah mencapai usia 10 hari, anak-anak ikan laga perlu diberi makanan hidup seperti microworm, artemia, moina, tubefix atau kutu air yang halus. Anak-anak ikan laga ini haruslah sentiasa diberi makanan yang secukupnya untuk memastikan tumbesaran yang teratur.

Untuk maklumat lanjut berkenaan cara-cara pembiakan ikan laga, kita boleh merujuk melalui Google, Blog, Youtube atau Face Book. Apa yang penting disini, kita jangan malu untuk bertanya kepada yang lebih pakar dalam bidang membiak ikan laga. Buat kajian dan rujukan terlebih dahulu sebelum kita menceburi bidang pembiakkan ikan laga ini. Nampak seperti mudah, tapi harus diingatkan bahawa ianya bukan semudah yang disangka. KESABARAN yang tinggi perlu ada jika kita ingin berjaya. Jangan mudah putus asa sekiranya gagal. Gagal sekali tidak bermakna kita gagal untuk selamanya. Jadikan kegagalan itu sebagai panduan dan rujukan untuk kita lebih berjaya di masa akan datang.

Sekian dari saya, Wassalam.


Sebarang pertanyaan boleh berhubung:

FB = https://www.facebook.com/naga.ganas.16
HP = 012-2574790 Nizam @ Naga